Penjual besi buruk mengaku tidak bersalah tetak mangsa

Muhafandi Muhamad
Mac 14, 2022 13:30 MYT
Mohamad Shahzrie (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang pada minggu lalu. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Seorang penjual besi buruk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Shahzrie Sham Sabudin, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Faain Adha Azliza, 30, dengan menggunakan sebilah parang.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di Sungai Bechah, Gunong, Bachok kira-kira pukul 12.10 tengah malam pada 8 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Sekyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan atas kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.
#penjual besi buruk #tetak lelaki #parang #Kota Bharu
;