Penjual ayam mengaku tidak salah laku sumbang mahram

Sinar Harian
Disember 15, 2021 11:31 MYT
Tertuduh (tengah) dikawal polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Rabu. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang penjual ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik ipar perempuan di bawah umur.
Tertuduh yang berusia 33 tahun didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan hubungan seks bersama adik ipar yang berusia 15 tahun tujuh bulan.
Kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah di Sungai Durian, Kuala Krai pada 23 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.
Lelaki itu bagaimanapun merayu agar jaminan terhadapnya dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga termasuk anak sulung berusia tujuh tahun yang juga orang kurang upaya (OKU).
“Saya ada isteri dan anak berusia tujuh dan lima tahun, serta seorang lagi berusia lapan bulan selain menanggung ibu yang sudah uzur. Saya mohon kurangkan jaminan,” katanya.
Ahmad Bazli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh kemudian menjelaskan jaminan itu.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Februari tahun depan.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#sumbang mahram #adik ipar #ikat jamin #penjual ikan
;