Penjenayah siber kini menyasar peranti IoT di rumah pintar - McAfee

Bernama
Jun 25, 2017 11:05 MYT
Menurutnya sebaik penjenayah siber menemukan jalan masuk ke rangkaian kediaman menerusi peranti ini, potensi menggodam secara maya tiada penghujungnya.
Penjenayah siber kini semakin kreatif dan mencari kaedah baharu dan canggih untuk mengakses data penting, dan kini peranti Internet Segala-galanya (IoT) di kediaman pintar menjadi sasaran terbaharu, kata McAfee, syarikat teknologi keselamatan khusus terbesar dunia.
Dalam temu bual dengan Bernama, Naib Presiden Pengguna, Asia Pasifik David Freer berkata terdapat sejumlah 5.5 juta peranti IoT yang disambungkan ke rumah di seluruh dunia setiap hari.
"Banyak peranti penghubung ini dikeluarkan dengan standard keselamatan yang rendah, dan dengan peranti ini dihubungkan kepada satu penghala (router), mewujudkan lebih banyak gerbang ke dalam rangkaian kediaman pintar, sekali gus menjadikan ia lebih mudah dikompromi," katanya.
Menurutnya sebaik penjenayah siber menemukan jalan masuk ke rangkaian kediaman menerusi peranti ini, potensi menggodam secara maya tiada penghujungnya.
"Mereka boleh mengawal seluruh rumah - mengawal cahaya lampu rumah, mengakses kamera serta memerhatikan kehidupan anda, menutup peranti dan paling teruk, memperoleh sebarang data peribadi yang dihantar ke seluruh rangkaian," katanya.
Memetik laporan MIMOS, pusat penyelidikan dan pembangunan Malaysia dalam teknologi maklumat dan komunikasi, McAfee berkata IoT di negara ini mempunyai potensi ekonomi bernilai RM9.5 bilion pada 2020, dan akan berkembang pesat melepasi 2020 untuk mencapai RM42.5 bilion.
Kajian oleh McAfee bagi memahami sepenuhnya amalan penggunaan kata laluan, mendedahkan lebih separuh daripada responden tidak ragu-ragu untuk berkongsi kata laluan dengan yang lain, dan hampir satu pertiga menggunakan kata laluan yang sama atau serupa bagi pelbagai akaun.
Penemuan yang mengejutkan ini menunjukkan pengguna masih tidak mengutamakan keselamatan peranti mereka, walaupun ancaman siber berpotensi menjejaskan mereka," kata Freer.
Beliau menasihati pengguna supaya melindungi peranti peribadi mereka dengan menggunakan kata laluan yang kompleks yang unik untuk setiap akaun, menggunakan pengesahan pelbagai faktor seperti perakuan cap jari, sentiasa menukar kata laluan dan menimbang menggunakan pengurus kata laluan seperti aplikasi True Key.
Tinjauan McAfee mendapati hanya 42 peratus pengguna mengambil langkah keselamatan yang tepat untuk melindungi alat baharu mereka.
Namun, walaupun mereka mengakui pentingnya menjaga keselamatan peranti masing-masing, 47 peratus daripadanya tidak pasti sama ada mereka telah mengambil langkah keselamatan yang betul.
-- BERNAMA
#ancaman siber #David Freer #Internet Segala-galanya #Penjenayah Siber
;