Penjenayah mati berbalas tembakan dengan polis
Sinar Harian
Disember 30, 2023 07:30 MYT
Disember 30, 2023 07:30 MYT
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Machang Bubok, di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam kejadian jam 12.35 pagi itu suspek dikesan memandu kenderaan jenis Proton X70 dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di kawasan Machang Bubok menghala Sungai Lembu di sini.
Menurutnya, curiga dengan keadaan itu, polis kemudiannya mengarahkan suspek berhenti bagi melakukan pemeriksaan namun lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan cuba meloloskan diri sebelum melepaskan tembakan ke arah ke arah anggota polis.
"Bagi mempertahankan diri, pasukan polis telah melepaskan tembakan pada kenderaan suspek namun dia tetap cuba meloloskan diri sebelum kenderaannya terbabas selepas dikejar dalam jarak 200 meter.
"Suspek kemudiannya keluar dari kenderaan dan mengacukan pistol ke arah anggota polis namun tindakan pantas anggota D9 melepaskan tembakan berjaya menumpaskan penjenayah terbabit," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Kok Chin berkata, semakan dibuat mendapati kenderaan yang dinaiki penjenayah itu menggunakan nombor pendaftaran palsu malah mendapati kenderaan itu turut digunakan dalam dua kejadian samun yang berlaku di sebuah kedai nombor ramalan dan kedai serbaneka di daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada awal bulan ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek melakukan jenayah samun secara solo dan menggunakan pistol bagi menakutkan mangsa sebelum membawa lari pelbagai barangan berharga.
"Kita percaya penjenayah ini seorang yang amat berbahaya dan memiliki senjata api jenis pistol semi-auto.
"Mengikut rekod, suspek sebelum ini pernah melakukan samun di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur dan kita akan buat semakan sama ada dia juga terlibat dengan kes aktiviti jenayah sama di negeri jiran seperti di Kedah dan Perak dengan menggunakan modus operandi yang sama," katanya.
Beliau berkata, suspek berusia 44 tahun dan beralamat di negeri ini mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes samun, kesalahan dadah, kes akta senjata serta bahan kakisan serta pernah dikenakan tindakan dibawah Ordinan Darurat (EO).
Katanya, dengan tumpasnya penjenayah berkenaan polis berjaya menyelesaikan dua kes samun yang dilaporkan berlaku di negeri ini pada tahun ini. - Sinar Harian