Penjenayah licik tidak mengaku menipu warga emas RM24,000

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 4, 2024 12:15 MYT
Mohamad Faizul (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menipu dan menyebabkan kerugian terhadap seorang wanita warga emas sebanyak RM24,000. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang lelaki yang dikatakan pernah menyamar sebagai pelbagai profesion termasuk timbalan pendakwa raya dan juruterbang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menipu menyebabkan kerugian RM24,000 antara tahun 2016 dan 2018.
Tertuduh, Mohamad Faizul Baharudin, 44 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Shariff.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Faizul didakwa menipu seorang wanita berumur 64 tahun dengan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM24,000 kepadanya bagi mendapatkan pekerjaan sebagai juruterbang yang tidak wujud.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di mesin ATM CIMB Bank, Gunung Rapat, di sini, antara jam 12 dan 1 tengah hari, 22 Dis 2016 hingga 8 Apr 2018.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu dan 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 dan menetapkan 27 Nov depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh diwakil peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Robert Gnanarajan.
Terdahulu pagi ini, Harian Metro melaporkan lelaki yang pernah menyamar sebagai timbalan pendakwa raya, juruterbang, jurutera Petronas dan pelbagai profesion lain itu akhirnya diberkas selepas enam tahun diburu polis.
Difahamkan, suspek menipu mangsa dengan kerugian mencecah jutaan ringgit sejak 2001 hanya dengan menggunakan kepetahan berbicara dan kepakaran dalam melakonkan pelbagai peranan untuk memperdaya orang ramai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dipetik berkata, suspek ditahan pada 11.45 malam Selasa lalu di sekitar Ampang, Selangor.
#lelaki menyamar #penipuan #kerugian #Mesin ATM
;