Penjenayah lepas dua tembakan sebelum maut ditembak polis
Adie Sufian Zulkefli
Februari 16, 2024 23:38 MYT
Februari 16, 2024 23:38 MYT
JITRA: Seorang penjenayah bersenjata api maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di jalan Bukit Kechil, Napoh, Changlun dekat sini pada Jumaat.
Suspek dilaporkan sempat melepaskan dua das tembakan sebelum maut ditembak polis dengan empat das tembakan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang melakukan rondaan Op Laras di kawasan kejadian melihat sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, polis kemudiannya meminta suspek berhenti namun dia enggan berbuat demikian.
"Suspek bagaimanapun cuba melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan polis yang ketika itu cuba mempertahankan diri, membalas empat das tembakan yang mengenai dada kirinya menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, pada Jumaat.
Fisol berkata, berdasarkan pemeriksaan lanjut, suspek dipercayai merupakan warga tempatan berusia 57 tahun dan semakan mendapati, dia mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah dan senjata api tiruan.
Beliau berkata, pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan dua pucuk pistol dan 240 butir peluru.
"Peluru yang ditemui adalah 9 milimeter (mm) 100 butir, .38 juga 100 butir serta peluru 5.56 yang digunakan untuk senjata rifle seperti M-16.
"Hasil pemeriksaan masih dilakukan oleh Unit Forensik dari Kontinjen Kedah dan pasukan JSJ Kedah di lokasi kejadian," katanya.
Fisol berkata, kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada suspek terbabit ada kaitan dengan mana-mana sindiket atau sebaliknya.
"Mayat suspek berkenaan dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat," katanya lagi.