Penjenayah lari dari sekatan jalan raya ditembak polis

Hakim Rahman
Oktober 9, 2017 10:00 MYT
Suspek yang cedera ditembak berjaya ditahan polis. - Foto Astro AWANI
Tindakan seorang penjenayah yang memiliki 20 kes jenayah lampau lari dari sekatan jalan raya di Taman Tun Dr. Ismail, di sini mengundang padah apabila dia cedera ditembak polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, suspek yang memandu kenderaan jenis Honda City secara bersendirian bertindak memecut laju memasuki Lebuhraya Damansara Puchong sebelum terbabas di pembahagi jalan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, sebaik sahaja terbabas, suspek bertindak melarikan diri sebelum ditembak anggota polis yang mengejarnya.
Menurutnya, ekoran tembakan itu, suspek yang berusia 33 tahun cedera di bahagian belakang badan dan berjaya ditahan.
"Hasil pemeriksaan, suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan curi kenderaan.
"Ketika sekatan jalan raya dilakukan di kawasan TTDI, kenderaan dipandu suspek mencurigakan dan dipercayai terlibat dalam kes kehilangan kenderaan di Damansara," katanya kepada Astro AWANI di sini.
Tambah Mohd Zani, suspek yang cedera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk rawatan lanjut manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan.
#Mohd Zani Che Din #penjenayah ditembak #polis #PPUM
;