Penjenayah ditembak mati di Subang terbabit kes samun bersenjata api

Bernama
Ogos 20, 2024 23:44 MYT
Mohd Shuhaily berkata penjenayah terbabit telah melepaskan lima das tembakan dengan dua daripadanya terkena kenderaan polis. - Gambar Bernama
SUBANG JAYA: Polis mengesahkan lelaki yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, Selangor, petang tadi merupakan ahli kumpulan samun bersenjata api dari sebuah negara di Benua Afrika.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam kejadian 6.59 petang itu, lelaki berusia lewat 30-an yang memandu kereta jenis Hyundai Matrix berwarna merah diarahkan berhenti oleh sepasukan anggota dari JSJ Bukit Aman.
Beliau berkata penjenayah terbabit telah melepaskan lima das tembakan dengan dua daripadanya terkena kenderaan polis.
"Suspek yang berasal dari sebuah negara di Benua Afrika itu ditembak mati di tempat kejadian. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
"Kita juga menemukan sepucuk pistol jenis revolver yang digunakan penjenayah terbabit," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam ini.
Mohd Shuhaily berkata pihaknya sudah lama menjejaki kumpulan tersebut yang aktif sejak 2018, kerana terbabit dalam 45 kes melibatkan kerugian kira-kira RM8 juta dari 2018 hingga tahun ini.
Beliau berkata modus operandi kumpulan tersebut antaranya menawarkan transaksi seperti menjual barang kemas, pertukaran mata wang asing atau beberapa pelaburan lain di media sosial kepada mangsa.
"Penjenayah ini akan berjumpa mangsa contohnya di hotel untuk transaksi pertama dan mengarahkan mangsa untuk naik kereta bersama, sebelum ahli kumpulan itu menyerang mangsa di jalan raya," katanya.
Mohd Shuhaily berkata pihaknya sedang menjejaki kira-kira 10 lagi ahli kumpulan terbabit yang dipercayai masih berada di Kuala Lumpur dan Selangor.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan seorang lelaki ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan membabitkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Kejadian tersebut turut tular di laman sosial petang tadi.
-- BERNAMA
#bedah siasat #mata wang asing #media sosial #pelaburan
;