Penjenayah dipercayai guna bahan letupan cuba rompak mesin ATM

Astro Awani
September 22, 2019 09:40 MYT
Hasil siasatan awal dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian dilakukan seorang suspek. - Foto: IPD Seri Alam
Pihak Polis sedang mengesan suspek kejadian cubaan pecah mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Dedap 21, Taman Johor Jaya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata pihaknya menerima makluman kejadian berlaku kira-kira jam 7.17 pagi Ahad.
Katanya, pihak polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati salah satu daripada dua buah ATM di bank berkenaan mengalami kerosakan di bahagian pengeluaran wang dan cermin penghadang berhampiran telah pecah.
"Pihak polis juga mendapati penjenayah gagal untuk mengambil wang ATM tersebut.
"Penjenayah dipercayai menggunakan bahan letupan (belum dikenal pasti) dalam cubaan memecah ATM berkenaan.
"Hasil siasatan awal dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian dilakukan seorang suspek," katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
#letup ATM #PDRM #penjenayah #polis #rompak ATM