Penjenayah dikehendaki ditemui mati ditetak
Abd Razak Mohd Ali
Januari 1, 2021 18:08 MYT
Januari 1, 2021 18:08 MYT
IPOH: Mayat seorang penjenayah yang dikehendaki polis ditemui di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan, di sini hari ini, dengan kesan tetakan pada pergelangan tangan dan belakang badan.
Dalam penemuan kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 34 tahun dikenal pasti mempunyai 12 rekod jenayah lampau, termasuk dua kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, terdahulu mangsa dipercayai terbabit dalam pertengkaran dengan sekumpulan individu di kawasan itu jam 7.30 malam tadi.
"Siasatan awal polis mendapati lelaki itu ke bangsal berkenaan malam tadi untuk bersemuka dengan kumpulan (suspek) terbabit kerana tidak berpuas hati adiknya ditahan polis susulan satu kes tetak pada November lalu.
"Dipercayai berlaku pertengkaran dan lelaki itu cuba melarikan diri namun terjatuh sebelum mayatnya ditemui pagi tadi oleh orang awam. Kita temui kesan tetakan pada bahagian belakang badan dan pergelangan tangannya hampir putus.
"Kita jumpa juga di lokasi senjata sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kes ini dan kita sebenarnya telah mengenal pasti suspek-suspek bersangkutan," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan melancarkan Op Cantas untuk mengesan semua suspek yang terlibat di dalam kes itu.
#penjenayah
#dikehendaki
#polis
#belukar
#mayat
#ditemui
#tetakan
#bunuh
#polis ipoh
#A Asmadi Abdul Aziz