Penjenamaan semula: Bekas tentera pilihan utama jadi pengawal keselamatan

Aida Aziz
September 26, 2020 18:40 MYT
Bekas tentera menjadi pilihan menjadi pengawal keselamatan selepas bidang itu dijenamakan semula. -Gambar hiasan/ Astro AWANI
Pengawal keselamatan terdiri daripada pesara serta bekas tentera yang cergas adalah antara tumpuan Kementerian Sumber Manusia untuk menjenamakan semula bidang pekerjaan berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata bidang kawalan keselamatan mengalami kekurangan pekerja disebabkan kekangan bagi syarikat terbabit membawa masuk pekerja asing.
"Kementerian kini sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Pertahanan untuk menjenamakan semula tugas pengawal keselamatan. Kita memberi tumpuan kepada pesara dan bekas tentera untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.
"Penjenamaan semula ini antara lain mengambil kira tahap kecergasaan dan faktor usia... Sebagai contoh, pengawal keselamatan di luar negara yang dianggap sebagai pekerjaan yang dipandang tinggi.
"Selaras dengan penjenamaan semula ini, imej baharu pengawal keselamatan itu nanti turut mengambil kira beberapa aspek (penambahbaikan) termasuk insentif dan juga pendapatan tambahan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini menyebabkan syarikat kawalan keselamatan di negara ini menghadapi masalah kekurangan pekerja yang kebanyakannya dibawa masuk dari luar.
"Banyak syarikat kawalan keselamatan berjumpa dengan saya meminta bantuan untuk membenarkan mereka membawa pengawal keselamatan dari Nepal dan sebagainya.
"Berdasarkan keadaan semasa, saya rasa mungkin kita tidak sempat membawa masuk mereka (pengawal asing), jadi lebih baik kita mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan bekas tentera.
"Ini juga secara tidak langsung akan mengurangkan kadar kebergantungan negara kepada pekerja asing dalam sektor berkenaan," katanya.
#bekas tentera #karier #kawalan keselamatan #keselamatan #Nepal #pengawal keselamatan #penjenamaan semula #pesara tentera
;