Penjelasan PNB mengenai pelaburan dalam Sapura Energy oleh MDH

Kenyataan Media
Mac 12, 2025 22:29 MYT
PNB menekankan bahawa pelaburan MDH bukan “bailout” oleh kerajaan.
Kami merujuk kepada pelbagai artikel yang merujuk kepada pelaburan dalam Sapura Energy Berhad (SEB) oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) sebagai “bailout” kerajaan. Kami ingin menekankan bahawa pelaburan MDH bukan “bailout” oleh kerajaan berdasarkan perkara berikut:
1. Dana digunakan secara eksklusif untuk membayar Pembekal (vendor) Tempatan - Dana ini digunakan secara langsung dan hanya untuk membayar pembekal tempatan, tanpa memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham SEB atau pemiutang kewangan yang sedia ada. Pembiayaan ini penting untuk kelangsungan kewangan penyedia perkhidmatan Malaysia dalam ekosistem minyak dan gas memandangkan SEB mempunyai lebih daripada 2,000 vendor, kebanyakannya adalah PKS serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja teras dalam industri minyak dan gas.
2. Memelihara Industri Minyak dan Gas Malaysia - SEB adalah penyedia perkhidmatan kritikal untuk industri minyak dan gas
Malaysia. Pelaburan ini menyokong perniagaan tempatan dan mengekalkan integriti rantaian bekalan. Memelihara SEB dan ekosistem minyak dan gas yang lebih luas adalah penting untuk kesinambungan projek yang menyumbang kepada hasil dan jaminan tenaga negara. Inisiatif ini memastikan kestabilan dan kemajuan keseluruhan rantaian nilai Minyak dan Gas Malaysia.
3. Mencetuskan pertumbuhan ekonomi secara positif - Tanpa SEB dan vendor tempatan, kerja tersebut perlu disumberluarkan kepada penyedia asing dan bukan Malaysia, mengakibatkan pembayaran mengalir keluar dari Malaysia. Pelaburan ini akan memastikan kerja minyak dan gas negara akan terus dilakukan oleh rakyat Malaysia, memberi manfaat kepada GNI Malaysia sebanyak [1.1]bilion dan memberi kesan positif kepada kadar pertukaran mata wang Malaysia.
4. Memudahkan penyelesaian penstrukturan korporat dan hutang terbesar di Malaysia - Pelaburan ini penting dalam memudahkan penyelesaian langkah penstrukturan hutang terbesar di Malaysia, melibatkan beberapa bank terbesar. Pelaburan ini akan membantu mengelakkan pembubaran SEB, yang akan mengakibatkan penjualan aset minyak dan gas strategik negara secara lelongan, di dalam dan luar negara.
5. Pelaburan dilakukan selaras dengan amalan terbaik penstrukturan global - Pelaburan oleh MDH akan dilakukan selepas pemiutang institusi kewangan SEB bersetuju dengan potongan berkesan yang ketara serta potongan tidak langsung akibat kehilangan nilai daripada penukaran hutang kepada saham pada premium yang tinggi. Selain itu, pemegang saham SEB yang sedia ada akan mengalami pencairan yang ketara daripada penukaran saham di bawah Skim Penstrukturan Hutang.
6. Proses Ketekunan Wajar dan Semakan: Sebagai sebahagian daripada skim penstrukturan, SEB telah menjalankan proses ketekunan wajar undang-undang dan kewangan yang komprehensif serta semakan perniagaan yang komprehensif oleh pakar bebas, termasuk semakan kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang menyeluruh.
7. Pelaburan adalah konsisten dengan apa yang negara lain telah lakukan untuk memelihara industri strategik mereka - Pelaburan ini adalah sama seperti apa yang negara lain telah lakukan untuk memudahkan penstrukturan pemain industri kritikal mereka. Contohnya termasuk pelaburan kerajaan Singapura dalam penstrukturan semula Sembcorp melalui Temasek serta pelaburan Korea Selatan dalam penstrukturan semula Daewoo Shipbuilding.
8. Pelaburan oleh MDH boleh dibayar balik - Pelaburan dalam SEB RCLS menjana pembayaran keuntungan tetap kepada MDH dan boleh ditebus dengan opsyen untuk menikmati kenaikan melalui penukaran kepada saham sekiranya harga saham SEB meningkat pada masa hadapan.
Pelaburan oleh MDH akan membuka jalan untuk penyelesaian usaha penstrukturan kewangannya yang akan membawa kepada SEB mendapatkan semula kedudukan kewangan yang kukuh dan pemulihan. Syarikat tersebut komited untuk membalas kepercayaan ini dengan terus melaksanakan rancangan perniagaan dan penstrukturan syarikat, memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang dan ketahanan operasi serta memainkan peranan berterusan sebagai pemangkin untuk industri perkhidmatan O&G tempatan.
PNB yakin pengurusan baharu SEB akan terus melaksanakan perniagaan sedia ada dan rancangan penstrukturan semula syarikat, sambil memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang dan daya tahan operasi.
#PNB #Sapura Energy #MDH #vendor
;