Penjelasan Azam Baki, LPPR tidak memadai - Cynthia Gabriel
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 6, 2022 12:44 MYT
Januari 6, 2022 12:44 MYT
KUALA LUMPUR: Penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengenai jumlah pemilikan saham yang melampau dibuat semalam masih belum dianggap memadai.
Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4) Cynthia Gabriel berkata, ia memandangkan kedudukanya yang menerajui badan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini dan kedudukanya dalam SPRM sebagai Pengarah Penyiasat ketika transaksi akaunya dalam pembelian saham ketika itu banyak menimbulkan persoalan.
“Ketika Azam merupakan Pengarah Penyiasatan SPRM adakah dia telah mengisytiharkan aset dimiliknya kepada pihak atasan.
"Dan seandainya ia berlaku, persoalanya adalah bagaimana beliau mempunyai wang yang begitu banyak untuk melakukanya,” jelas Cynthia.
Katanya lagi adalah tidak memadai Azam dalam sidang medianya semalam hanya memaklumkan bahawa akaun yang dimilikinya telah digunakan oleh adiknya untuk melakukan transaksi dan pemilikan saham dalam jumlah yang besar.
Cynthia malah berpandangan bahawa siasatan lebih lanjut dan terperinci perlu dilakukan dalam kes tersebut dan tidak memadai sekadar penjelasan yang telah dibuat olehnya.
Dalam sidang media yang berlangsung semalam juga pihak Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) turut berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, hasil penjelasan dibuat, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adik kepada Azam.