'Penjejak masa sebenar dunia adalah apa yang diperlukan sekarang' - Ketua Pengarah DCA
T K Letchumy Tamboo
Mac 8, 2015 08:53 MYT
Mac 8, 2015 08:53 MYT
Walaupun menerima pelbagai reaksi dari dalam negara malah seduania tentang cara penegndalian isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengambil input terbaik daripada semua itu demi menggalas tanggungjawab beliau.
Kepada Astro AWANI, beliau berkongsi pengalaman tersebut..
AA: Setahun telahpun berlalu dan perkara yang terjadi ke atas pesawat MH370 menggemparkan seluruh dunia. Kita sangat memahami perkara yang berlaku ini adalah satu dugaan besar buat DCA. Setakat 365 hari ini, bagaimana DCA berdepan dengan masalah ini?
AAR: Kita kena faham bahawa insiden MH370 ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita ingin mengetahui apakah yang telah berlaku. Malah, satu dunia ingin tahu apa yang telah berlaku. Sebab itulah kerajaan Malaysia amat komited untuk mencari pesawat ini supaya kita dapatkan kotak hitam pesawat itu. Dengan kotak hitam tersebut, kita akan dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat tersebut.
AA: Bagaimanakah untuk mengembalikan semula kepercayaan umum ataupun apakah standard pada masa depan untuk memperbetulkan keadaan, khususnya bagi pihak yang gusar tentang kecuaian melibatkan faktor manusia?
AAR: Saya rasa apabila saudara mengatakan kecuaian, adalah tidak tepat sekarang ini. Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Jadi spekulasi-spekulasi di luar sana pun saya harap dapat dikurangkan ataupun dihapuskan sama sekali.
Sebab kita tahu melalui penganalisis pakar yang menganalisa 'raw data', atau data yang belum diproses. Mereka bukannya dari satu negara tetapi dari pelbagai negara seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Malaysia dan China. Mereka yang telah menentukan pesawat tersebut berakhir di Lautan Hindi.
AA: Melihat daripada kekurangan yang berlaku sebelum ini, apakah penambahbaikan yang DCA lihat perlu lakukan?
AAR: Apa yang paling ketara sekarang adalah bukan DCA sahaja, tetapi seluruh industri penerbangan awam bersetuju bahawa penjejak masa sebenar dunia (global real time tracking) perlu diwujudkan.
AA: Dan sistem itu perlu digerakkan secepat mungkin?
AAR: Memang secepat mungkin. Pihak ICAO telah menubuhkan satu jawatankuasa khas dan mereka telah memberi tempoh masa sebelum 31 Ogos untuk mengeluarkan satu kaedah untuk semua pesawat mematuhi 'real time tracking' atau sistem pengesan waktu sebenar ini.
AA: Bagaimana peranan DCA untuk memberi maklumat pada masa hadapan. Apa yang kita boleh pelajari?
AAR: Selepas MH370 hilang, sebagai satu agensi yang bertanggungjawab, kita juga melihat kembali apa yang kita lakukan. Apa yang kita ketahui telah dikongsi dengan badan penyiasatan bebas MH370 dan kita bekerjasama penuh dengan badan tersebut. Terpulang kepada badan tersebut untuk mengeluarkan laporan-laporan berkenaan.
AA: Dan laporan ini termasuk untuk ahli keluarga, media dan sebagainya?
AAR: Saya difahamkan demikian.
AA: Ada juga yang bertanya tentang keselamatan penerbangan sendiri, apakah wujud lagi gelombangan di dalam sistem keselamatan kita? Atau apa yang perlu dilakukan supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi?
AAR: Seperti yang dinyatakan selepas kejadian MH370, badan-badan dunia pun telah mengenal pasti sistem pengesan waktu sebenar ini. Dan saya amat yakin badan-badan ini akan mengadakan penyiasatan yang telus supaya kita tahu apa yang berlaku. Tetapi semua kena faham bahawa siasatan masih sedang berjalan. Selagi kita tidak dapat bangkai pesawat, selagi kita tidak dapat analisis kotak hitam tersebut, maka siasatan masih dijalankan lagi.
AA: Dari segi data yang diperoleh dalam 356 hari ini. Kita bergantung pada data dari Inmarsat. Apakah masa depan dalam proses pencarian MH370, akan ada kaedah lain daripada pergantungan kepada Inmarsat ini?
AAR: Kita kena faham bahawa setiap kejadian itu berbeza-beza. Apakah sebab ia berlaku perlu dianalisa.Jadi, apa yang kita semua faham bahawa kejadian MH370 tidak pernah berlaku di dunia dan kita kehilangan pesawat tersebut. Dan dan data yang kita ada hanyalah dengan Inmarset. Satelit tersenut adalah satelit komunikasi, bukan satelit pengesan. Data yang ada telah dianalisa dan didapati ada 'handshake' dan dari situlah mereka menggunakan satu kaedah yang tidak pernah digunakan untuk mencari pesawat yang hilang dan dapat mencari di mana kapal tersebut berakhir.
AA: Jika ada pihak sudi tampil untuk membantu dan memberi kreativiti tersendiri, bagaimana DCA melihatnya?
AAR: Kita terbuka. Raw data tersebut dahulu dia minta, kita keluarkan. Ada di laman web DCA, ada di laman web khas untuk MH370 dan setahu saya sejak kita keluarkan data tersebut, tiada pun agensi yang dapat menganalisakan di mana pesawat itu berada.
AA: Bagaimana DCA ambil pendekatan untuk memberi sesuatu yang terbaik untuk ahli keluarga?
AAR: Kami ada protokol khas bagaimana untuk mengendalikan keluarga mangsa. Di Malaysia, ada suatu jawatankuasa untuk mengendalikan keluarga mangsa. Dan jawatankuasa tersebut telah mengarahkan MAS untuk memberitahu kepada setiap keluarga MAS apakah informasi-informasi yang terkini. Dan MASlah yang memberikan maklumat melalui panggilan telefon, laman web atau berjumpa sendiri.