Penjawat awam tolong mudahkan urusan rakyat - Muhyiddin
Assim Hassan
Ogos 30, 2020 12:58 MYT
Ogos 30, 2020 12:58 MYT
Para penjawat awam perlu bergerak pantas mengadaptasi kelaziman baharu dalam usaha kerajaan membantu menyelesaikan masalah rakyat di negara ini dengan cepat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, usaha penjawat awam membantu mempercepatkan urusan rakyat dapat mengelak perasaan kecewa dalam kalangan mereka.
"Oleh itu, kita tanya keberadaan kita (penjawat awam) adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana anda berkhidmat untuk rakyat yang akhirnya dibayar gaji oleh kerajaan. Ini bukan percuma.. malah anda semua bukan berkhidmat untuk rakyat sebaliknya untuk rakyat contohnya di Sandakan ini.
"Pada masa ini, semua perkara adalah susah, (maka, tugas anda penjawat awam) memudahkannya," katanya pada Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Persekutuan Sabah di Sandakan pada Ahad.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai matlamat untuk memajukan negara ini dan peranan penjawat awam adalah menterjemahkan dasar-dasar penting kerajaan.
Untuk itu, kata Muhyiddin, pentadbiran kerajaan perlu lebih efisien selain dibantu teknologi yang ada ketika ini.
"Mungkin rakyat tidak mahu tahu apa itu dasar tetapi mereka mahu tahu apa program yang menyokong kepada dasar-dasar itu. Maka ini merupakan tanggungjawab penjawat awam menterjemahkan dasar kepada program yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut sistem penyampaian kerajaan pantas dan tepat dengan setiap penjawat awam mengekalkan sikap integriti tinggi serta menghindari rasuah.
"Kita mahu pengurusan berhemah, cekap dan tidak membawa pembaziran. Malah Sistem perolehan juga perlu dilaksanakan dengan teratur," katanya.
#kelaziman baharu
#kerajaan
#Muhyiddin Yassin
#penjawat awam
#Perdana Menteri
#Perikatan Nasional
#rakyat Malaysia
#Sandakan