Penjawat awam Selangor perlu mesra, sedia dengar masalah rakyat - Tengku Amir Shah

Bernama
Jun 19, 2024 22:15 MYT
Tengku Amir Shah (dua, kanan) berkenan beramah mersa bersama peniaga dan membeli juadah ketika melawat pasar malam sempena Jelajah Gagasan Rumpun Selangor bagi daerah Petaling di Seksyen 7 Shah Alam, semalam. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini perlu sentiasa mesra dan bersedia mendengar masalah dihadapi oleh rakyat.
Baginda bertitah, sebagai aset penting kerajaan, penjawat awam perlu memastikan setiap dasar yang digubal dilaksanakan dengan cekap demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dicapai.
"Sesungguhnya bagaimana elok sekalipun sesuatu dasar yang telah digubal, ia tidak akan bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksanaannya tidak cekap dan kurang berkesan.
"Beta berharap segala dasar yang hendak dilaksanakan tidak akan membebankan rakyat dan dasar itu perlulah mendatangkan manfaat kepada rakyat," titah baginda semalam.
Tengku Amir Shah bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, dekat sini sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Selaku pelaksana dasar, titah baginda rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada pegawai kerajaan dan mereka perlu memahami masalah yang dikemukakan dan berusaha menyelesaikannya dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Tengku Amir Shah turut bertitah supaya pegawai daerah, pegawai dan petugas Pejabat Daerah bekerjasama dengan Orang Besar Daerah, yang mewakili Sultan Selangor di setiap daerah demi kemajuan negeri selain membantu mengatasi masalah yang dihadapi rakyat.
-- BERNAMA
#penjawat awam #Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah #Selangor #Program Gagasan Rumpun Selangor