Penjawat awam perlu sentiasa proaktif dan responsif - Mohd Zuki
Bernama
Januari 1, 2022 12:33 MYT
Januari 1, 2022 12:33 MYT
PUTRAJAYA: Anggota perkhidmatan awam digesa sentiasa proaktif dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat dan negara, di samping sentiasa teguh dalam menggalas amanah serta tanggungjawab yang diberikan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kerjasama kukuh, kesefahaman yang jitu dan sokongan rentas agensi dengan mengetepikan kepentingan individu serta ego, adalah ramuan utama kejayaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
"Tahun 2022 bakal menjanjikan sekali lagi sinar harapan yang gemilang buat kita semua dan memperbaiki apa jua kelemahan serta kekurangan yang kita ada," katanya dalam perutusan Amanat Tahun Baharu 2022 yang dipaparkan di Facebooknya.
"Kita panjatkan setinggi doa ke hadrat Ilahi semoga ekonomi negara yang sebelumnya goyah, kembali teguh dan gagah.
"Alhamdulillah, kita kemudiannya telah bersama-sama bersepakat dalam satu sinergi mantap untuk mengimbangi antara kepentingan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Ekonomi yang komprehensif dan inklusif," tambahnya.
Menurutnya ia merangkumi lapan pakej rangsangan, antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kita PRIHATIN yang dianggar berjumlah lebih RM530 bilion, khusus untuk membantu kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata Program Imunisasi COVID- 19 Kebangsaan yang dilaksanakan kerajaan memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada vaksinasi bagi usaha menjamin keselamatan diri rakyat dari penularan berterusan wabak COVID-19 dalam negara.
-- BERNAMA