Penjawat awam perlu pikul amanah, kepercayaan berdasarkan nilai H.E.M.A.T - KPPA

Bernama
Mei 28, 2024 23:42 MYT
Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (depan lima kiri) bergambar kenangan dengan penerima anugerah dan tetamu yang hadir ke Majlis Konvensyen Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penjawat awam perlu memikul amanah dan kepercayaan yang dipertanggungjawabkan berdasarkan nilai-nilai Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran (H.E.M.A.T).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata konsep H.E.M.AT memerlukan penjawat awam sentiasa berani berhijrah menerusi kepekaan dengan tuntutan perubahan semasa, menjalankan tugas dengan rapi, cekap dalam pelaksanaan tugas dan mengamalkan komunikasi secara efisien.
"Nilai H.E.M.A.T perlu sejajar dengan dasar Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan aspirasi 'The G.R.E.A.T. Civil Service' yang diperkenalkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali, agar implementasi nilai baharu itu kelak dapat memenuhi segala hasrat yang telah digariskan," menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Beliau berkata demikian ketika bicara eksklusif bertajuk 'H.E.M.A.T. : Penuhi Aspirasi, Pencapaian Dirasai' dalam ISM Executive Talk anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) di sini hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata pegawai awam juga perlu berpegang kepada tiga prinsip dalam melaksanakan tugas iaitu Memudahkan, Menyesuaikan dan Menyegerakan.
Justeru itu, beliau berkata cara kerja semasa perlu disesuaikan agar menepati hala tuju negara dan memenuhi harapan rakyat.
Wan Ahmad Dahlan berkata berteraskan kepada hubungan kemanusiaan, nilai-nilai H.E.M.A.T dapat dipraktikkan oleh setiap pemimpin dan pekerja dalam sektor awam.
"Seseorang pemimpin seharusnya menjadi pendengar yang baik, bijak dalam mengoptimumkan sumber, aktif mengilhamkan idea-idea baharu serta terlibat dalam menggubal undang-undang dan peraturan baharu," katanya.
Beliau berkata pekerja pula perlu melaksanakan semua perubahan yang ditetapkan, berusaha memahami sebarang perubahan baharu, mengaplikasikan kaedah baharu yang digunakan dan mematuhi semua ketetapan baharu.
Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan melancarkan Buku Menjunjung Legasi Kepimpinan Wanita KPWKM yang membariskan lapan tokoh yang mengetuai kementerian itu sebagai Ketua Setiausaha.
Buku itu mengandungi catatan, pemikiran, falsafah, prinsip dan sumbangan tokoh terbabit dalam mengemudi KPWKM dan menerajui agenda pembangunan serta kesejahteraan sosial masyarakat Malaysia.
-- BERNAMA
#penjawat awam #HEMAT #KPPA #Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz
;