Penjawat awam perlu memaknai kemerdekaan, tingkatkan prestasi dan semangat patriotisme - CUEPACS

Bernama
Ogos 30, 2023 04:59 MYT
Adnan berkata pemimpin dan penjawat awam perlu bersikap profesional untuk memastikan negara ini benar-benar menelusuri sistem demokrasi yang matang serta memberi manfaat kepada semua pihak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seluruh warga perkhidmatan awam diseru menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memartabatkan negara dengan memberi makna kepada kemerdekaan dari segi jiwa dan pemikiran.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat berkata, ia bukan hanya soal meningkatkan semangat patriotisme, tetapi mereka perlu menilai semula peranan dan tanggungjawab serta meningkatkan prestasi bagi memastikan negara terus mengecapi kemakmuran.
Dalam soal ini, katanya kerjasama yang erat dengan kerajaan harus terus dikekalkan bagi memastikan setiap dasar dan polisi yang dibawa kerajaan hari ini dapat memberi impak maksimum kepada rakyat dan negara.
"Di sinilah peranan kita sebagai penjawat awam dalam menyokong dasar-dasar negara dan kesetiaan kepada kerajaan walaupun mempunyai ideologi politik berbeza," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Anwar ketika menyampaikan amanat Hari Kebangsaan 2023 pada Rabu antara lain menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat.
Perdana Menteri berkata antara syarat untuk mencapai aspirasi itu adalah dengan memastikan "merdeka rakyat" iaitu sebuah masyarakat yang merdeka minda dan jiwanya serta bebas daripada pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran jumud.
Dalam masa sama, Adnan berkata pemimpin dan penjawat awam perlu bersikap profesional untuk memastikan negara ini benar-benar menelusuri sistem demokrasi yang matang serta memberi manfaat kepada semua pihak.
Beliau berkata CUEPACS turut menyeru dan mengajak seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus bersama-sama dengan kerajaan bagi membangunkan Malaysia yang hebat dengan nilai dan aspirasi yang dibawa melalui konsep Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
#penjawat awam #cuepacs #patriotisme #Adnan Mat
;