Penjawat awam Perak terima 'duit raya' RM1,500
Abd Razak Mohd Ali
Mac 5, 2025 05:15 MYT
Mac 5, 2025 05:15 MYT
Saarani turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam, khususnya ketua-ketua jabatan yang banyak memberi idea untuk meningkatkan hasil. - Foto fail/Astro AWANI
IPOH: Kerajaan Perak meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri sempena Aidilfitri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembayaran akan dibuat pada 24 Mac, melibatkan kira-kira 13,582 penerima.
Menurutnya, BKK tersebut dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sekitar RM10 juta kepada kerajaan negeri.
Di samping itu, katanya, selain penjawat awam, BKK Aidilfitri turut diterima ketua kampung, guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.
“Alhamdulillah negeri kita ada sumber-sumber mineral dan hasil bumi yang diberikan Allah.
“Ini adalah sebahagian nikmat yang diberikan oleh Allah dan jangan lupa kita bersyukur kepada Nya,” katanya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama penjawat awam Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini, malam tadi.
Saarani turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam, khususnya ketua-ketua jabatan yang banyak memberi idea untuk meningkatkan hasil.
Menurutnya, idea bernas yang diberikan telah berjaya menambah kutipan hasil di samping menarik pelabur asing sehingga Perak mencatat lebihan pendapatan tiga tahun berturut-turut.
Untuk rekod, Perak memberikan Bantuan Khas Kewangan Raya (BKK RAYA) pada 2024 sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri dan ketua kampung.
Pemberian itu turut melibatkan guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.