Penjawat awam main peranan penting lakar kejayaan Pulau Pinang - SUK

Bernama
Mei 8, 2023 14:45 MYT
Mohd Sayuthi berkata ekonomi Pulau Pinang pada 2021 mencapai kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia. - Gambar Facebook CGSO
KEPALA BATAS: Penjawat awam Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam melakar kejayaan negeri ini yang telah mencapai kadar pertumbuhan ekonomi memberangsangkan pada 2021.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata ekonomi Pulau Pinang pada 2021 mencapai kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia, iaitu pada 6.8 peratus, dengan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara meningkat kepada 7.1 peratus.
"Pertumbuhan ekonomi ini, yang dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI) khususnya dalam sektor pembuatan, merupakan testimoni kecekapan perkhidmatan awam di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang 2022 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini.
Seramai 309 penjawat awam Pentadbiran SUK Pulau Pinang yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2022 diraikan pada majlis berkenaan.
Menurut Mohd Sayuthi pemilihan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) adalah berdasarkan asas penilaian dan pencalonan oleh ketua jabatan kepada pegawai yang telah menunjukkan pencapaian yang terbaik iaitu memperoleh Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 90 peratus serta memenuhi syarat tambahan lain yang ditetapkan.
Sementara itu, Chow berkata rakyat mengharapkan penjawat awam untuk memberikan komitmen yang tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan yang baik.
"Justeru, kita semua perlu memastikan perkhidmatan awam berada seiring dengan dasar kerajaan khususnya dalam usaha memantapkan modal insan dengan kompetensi masa hadapan dan pengukuhan perkhidmatan berpaksikan teknologi digital.
"Berdasarkan pengalaman, saya yakin dan percaya masih ramai yang sedang dan telah berusaha dalam melunaskan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi, cekap dan produktif," katanya.
Beliau berkata penganugerahan dan pengiktirafan berkenaan diharapkan memberi motivasi kerja dan impak positif kepada semua warga SUK Pulau Pinang dalam membentuk ekosistem kerja yang lebih mampan dan bermutu.
-- BERNAMA
#KDNK #penjawat awam #Amanah #pelaburan