Penjawat awam ditahan miliki kulit dan organ harimau belang
Vivi Sumanti
November 3, 2019 14:17 MYT
November 3, 2019 14:17 MYT
Berani buat berani tanggung, itulah pepatah yang sesuai untuk seorang penjawat awam apabila ditahan polis di rumahnya di Bunut Perol, Nilam Puri di sini, semalam kerana memiliki kulit dan organ harimau belang.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki yang berusia 52 tahun menerusi Operasi Khazanah yang dibuat pada 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam serbuan itu pihaknya menjumpai kulit kepala harimau belang yang dikeringkan, satu kuku, dua gigi taring dan satu keping kulit harimau dalam rumah itu.
Katanya, suspek dipercayai memperolehi barangan terlarang itu daripada seekor harimau belang yang sudah mati untuk kegunaan sendiri.
“Serbuan dilakukan selepas kita mempunyai maklumat yang cukup hasil daripada risikan polis dan maklumat awam.
"Penjawat awam berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Hasanuddin berkata, menerusi operasi itu juga pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan di Pasir Mas dan Tumpat pada 26 Oktober lalu.
Katanya, dalam serbuan itu pihaknya menemui gading dan gigi gajah.
“Saya harap masyarakat di negeri ini dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau berkuasa jika ada di sekitar rumah masing-masing yang menyimpan khazanah hutan.
“Jangan nodai khazanah alam dan harap kita sama-sama menjaganya. Setakat ini kegiatan pemburu haram di Kelantan adalah terkawal dan ia adalah kes terpencil,” katanya.
#Hasanuddin Hassan
#Ketua Polis Kelantan
#kuli harimau
#Malaysia
#organ harimau belang
#Pasir Mas
#PDRM
#penjawat awam
#Polis Diraja Malaysia
#suspek
#Tumpat