Penjawat awam disabit kesalahan pandu secara cuai dapat kebenaran merayu

Bernama
November 21, 2023 18:21 MYT
Wanita itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati dia bersalah atas kesalahan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.
PUTRAJAYA: Seorang penjawat awam yang disabitkan kesalahan dan didenda RM6,000 kerana memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal 13 tahun lepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan hari ini untuk meneruskan rayuannya terhadap sabitan dan denda.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Mas Ayu Siti Asmah Hani Zainul Abidin selepas Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad tidak membantahnya.
Wanita itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati dia bersalah atas kesalahan itu.
Peguam R.S.N. Rayer yang mewakili Mas Ayu memohon mahkamah membenarkan permohonan kebenaran anak guamnya untuk merayu atas tiga persoalan undang-undang.
Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Hadhariah yang mengetuai panel hakim membenarkan permohonan dengan tiga soalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Mas Ayu, 42, yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM6,000, atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Sepang pada 10 Jan tahun lepas kerana memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kematian Fatima Zurwanti Zulkifly, 20.
Kesalahan itu dilakukan di bulatan Jalan Persiaran Desa Pinggiran Putra, di Sepang, Selangor, pada 6.30 petang pada 14 Jun 2010.
Mahkamah Majistret juga memerintahkan Mas Ayu membayar pampasan RM3,500 kepada keluarga si mati dan memerintahkan supaya lesen memandunya diendors dengan butiran sabitan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan.
Dia merayu ke Mahkamah Tinggi dan pada 7 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan kesalahannya.
Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan itu tetapi mengekalkan denda dan perintah lain yang diberikan oleh Mahkamah Majistret.
-- BERNAMA
#memandu dengan cuai #penjawat awam #kematian #rayuan #mahkamah
;