Penjawat awam diminta kemas kini PADU
Sinar Harian
Januari 22, 2024 11:58 MYT
Januari 22, 2024 11:58 MYT
PUTRAJAYA: Semua penjawat awam diminta agar mengemas kini maklumat dan data di dalam Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) selewat-lewatnya 15 Februari ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi surat edaran bertarikh 17 Januari memaklumkan ia selaras peluncuran PADU pada 2 Januari lalu.
"Serentak dengan peluncuran tersebut sistem PADU telah dibuka untuk membolehkan rakyat mendaftar dan mengemas kini maklumat individu dan isi rumah," katanya sambil menambah ia penting bagi menjayakan inisiatif PADU.
Pendaftaran PADU dibuka secara langsung bermula Selasa sehingga 31 Mac ini bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.
Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU.
Sistem tersebut mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#penjawat awam
#Sistem Pengkalan Data Utama
#PADU
#Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
#Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz