Penjawat awam boleh bayar insurans kenderaan, cukai jalan melalui potongan gaji

Bernama
September 1, 2021 18:59 MYT
Saravanan berkata inisiatif tersebut boleh membantu penjawat awam yang terkesan dengan musim pandemik COVID-19. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Penjawat awam berpeluang membuat pembayaran ansuran untuk memperbaharui insurans kenderaan bermotor milik sendiri dan cukai jalan tanpa faedah melalui potongan gaji.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata inisiatif tersebut boleh membantu penjawat awam yang terkesan dengan musim pandemik COVID-19.
Beliau berkata kemudahan tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Angkatan Koperasi Kebangsa Malaysia Bhd (Angkasa) dan sebuah syarikat takaful.
"Ketika ini premium insurans kenderaan dan cukai jalan adalah cukup mahal. Jadi, penjawat awam akan diberi ruang dan peluang untuk membayar secara ansuran," katanya pada sidang media selepas memulakan tugas secara rasmi di KSM di sini hari ini, yang turut disertai timbalannya Datuk Awang Hashim.
Saravanan, yang kembali menerajui kementerian tersebut di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia merupakan antara 20 inisiatif khas berimpak besar yang akan dilaksanakan sebagai pencapaian 100 hari pertama seperti yang dikehendaki perdana menteri.
Beliau berkata kemudahan itu juga mungkin diperluaskan kepada pesara kerajaan setelah perbincangan mengenainya dengan pihak berkepentingan diperhalusi.
Saravanan juga berkata KSM menerusi Perkeso akan meneruskan cadangan untuk melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) iaitu perlindungan keselamatan sosial untuk kira-kira 2.99 juta suri rumah pada tahun depan.
Beliau berkata seramai 150,000 suri rumah dari isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis kemiskinan (PGK) akan dilindungi oleh kerajaan di bawah skim tersebut manakala penyertaan adalah secara sukarela bagi suri rumah yang lain.
SKSSR ini menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian.
Skim tersebut adalah pengiktirafan kepada peranan yang dimainkan oleh suri rumah dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara.
Dalam pada itu, bagi pencapaian 100 hari, Saravanan berkata tumpuan akan diberikan kepada lima bidang utama iaitu pembangunan kemahiran, perkhidmatan pekerjaan dan pematuhan aspek perburuhan, perhubungan perusahaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta perlindungan sosial.
-- BERNAMA
#penjawat awam #insurans kenderaan #cukai jalan #potongan gaji
;