Penjawat awam belasah ejen cari jodoh adalah detektif polis - Arjunaidi

Astro Awani
November 19, 2021 19:02 MYT
Rakaman video kejadian berdurasi dua minit 19 saat yang memaparkan 'aksi' itu turut tular di media sosial sejak Selasa lalu. - Gambar/ Media sosial
SEPANG: Anggota polis yang disyaki memukul ejen syarikat cari cari jodoh kerana tidak menemui calon pasangan, Selasa lalu, adalah seorang detektif berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata anggota berusia 35 tahun itu bukan berpangkat pegawai.
Katanya, suspek sudah dipindahkan ke bahagian pentadbiran berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan siasatan lanjut dijalankan.
"Saya nak perbetulkan beberapa fakta, dia ini adalah anggota berpangkat koperal bukan pegawai seperti mana yang diviralkan, dia adalah anggota berpangkat koperal... detektif koperal bukannya pegawai.
"Jadi tindakan serta-merta di pihak kita bila kita mendapat tahu perkara ini adalah yang pertama kita terus keluarkan dia... kita terus tarik balik dia punya jawatan sebagai detektif.
"Dan dia terus kita tukarkan untuk menjalankan tugas pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan pihak IPK Kuala Lumpur.
"Selain siasatan membabitkan kelakuan jenayah, tindakan dari segi tatatertib juga dijalankan secara serentak," katanya.
Cari Jodoh | Berang tak dapat pasangan, ejen kena belasah
BACA: Berang gagal dapat teman hidup, penjawat awam belasah ejen cari jodoh
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD0) Sepang, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, gara-gara berang ditipu kerana tidak mendapat calon pasangan setelah membayar RM2,500 sebagai upah, seorang penjawat awam bertindak membelasah pegawai khidmat pelanggan wanita yang bertindak sebagai ejen cari jodoh.
Rakaman video kejadian berdurasi dua minit 19 saat yang memaparkan 'aksi' itu turut tular di media sosial sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dilapor berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa lalu, di sebuah bangunan di Jalan 2, Chan Sow Lin.
#penjawat awam #pukul ejen cari jodoh #anggota IPK Selangor #arjunaidi mohamed
;