Penjawat awam bekerja walaupun dari rumah semasa PKP - CUEPACS
Bernama
Mei 1, 2020 05:15 MYT
Mei 1, 2020 05:15 MYT
Penjawat awam yang bekerja dari rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih menjalankan tugas masing-masing walaupun berada di rumah, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat.
Beliau berkata walaupun penjawat awam yang bekerja dari rumah dipertikaikan sesetengah pihak seolah-olah "tidak bekerja, cuti", namun hakikatnya mereka diarahkan untuk berbuat demikian bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.
"Sebahagian penjawat awam pula bekerja sebagai barisan hadapan (frontliners) yang berkerja sampai 16 jam, dengan jadual bertugas bukan seperti hari biasa, hingga ada tidak boleh balik rumah berminggu-minggu," katanya.
"Sebab itulah kita boleh melihat kesan daripada itu... tiada putus bekalan makanan, tiada kacau ganggu, semua dalam keadaan terkawal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah Tokoh Hari Pekerja 2020 CUEPACS kepada Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sempena sambutan Hari Pekerja, pada Jumaat.
Mengulas laporan yang mempertikaikan penjawat awam gred 41 dan ke atas yang didakwa bergaji RM12,000 hingga RM20,000 sebulan dan duduk di rumah "staying at home", Adnan berkata ia merupakan kenyataan "nakal" serta boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap penjawat awam.
"Sebab ia adalah persepsi dan persepsi ini tidak perlu dijawab. Penjawat awam telah terlatih dengan segala jenis persepsi di luar sana tetapi kami tetap menjalankan tugas seperti biasa.
"Cumanya orang-orang itu tidak perlu membuat andaian sebegitu rupa yang boleh menjejaskan imej malah wujudkan suasana konflik di antara orang yang tidak mendapat pendapatan seperti biasa dan orang lain dapat pendapatan," katanya.
Adnan dalam pada itu menyarankan ketua jabatan untuk mengenal pasti dan mengutamakan tugas utama khususnya berkaitan dengan keperluan rakyat yang terkesan susulan pelaksanaan PKP apabila penjawat awam kembali bertugas di pejabat masing-masing mulai Isnin ini (4 Mei).
"Sudah tentu mereka memerlukan dengan segera bantuan daripada kerajaan yang ditunjangi penjawat awam," katanya mengulas pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sempena Hari Pekerja hari ini yang memberi kelonggaran kepada hampir semua sektor ekonomi untuk beroperasi bermula Isnin ini, serta saranan penjawat awam digalakkan bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.
-- BERNAMA
#COVID-19
#cuepacs
#cukai
#ekonomi
#gred 41
#kerajaan
#kerja dari rumah
#konflik
#koronavirus
#pendapatan
#penjawat awam
#Perdana Menteri
#persepsi
#petugas barisan hadapan
#PKP
#rakyat