Penjarakan sosial sukar dilakukan di tadika

Isabelle Leong
April 15, 2020 18:05 MYT
Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata ia menjadi cabaran utama untuk melaksanakan kaedah penjarakan sosial dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa. - BERNAMA
Penjarakan sosial sukar dilakukan di tadika sekali gus menjadi faktor pertimbangan untuk tidak membuka prasekolah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata ia menjadi cabaran utama untuk melaksanakan kaedah penjarakan sosial dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa.
“Kementerian Pendidikan membincangkan dengan teliti setiap perkara supaya kami memahami dan menganalisis kesannya.
“Cabaran utama di peringkat tadika ini adalah untuk melakukan kaedah penjarakan sosial.
“Lama mereka tidak jumpa kawan-kawan dan pelaksanaan penjarakan sosial itu merupakan satu kekangan utama,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Katanya, keutamaan diberikan kepada pelajar tingkatan lima dan enam yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk ke sekolah selepad PKP tamat.
Bagaimanapun, kementerian akan memperkenalkan garis panduan persekolahan ketat yang memberikan keutamaan kepada penjarakan sosial.
“Jika sebelum ini satu kelas ada 35 orang pelajar. Apabila kita adakan penjarakan sosial, 35 murid itu tidak muat dalam satu kelas. Jadi apa KPM perlu sama ada cari dewan lebih besar atau menggunakan dua kelas dan sebagainya.
“Apa yang penting apabila dibuka sekolah kelak, garis panduan kita sediakan bersama KKM dan setiap sekolah mesti patuhi. Pematuhan itu adalah wajib dan peranan ini akan dimainkan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan setiap sekolah patuhi garis panduan dan penjarakan sosial.
"Faktor kebersihan dan laluan sebagai contoh, kalau nak datang ke sekolah ada dua laluan tetapi sekarang kita sudah (nasihatkan) supaya laluan itu sehala sahaja. Kita akan pastikan semua garis panduan itu akan dipatuhi," katanya.
#Dr Mohd Radzi Md Jidin #Kanak-kanak #Kementerian Pendidikan #Menteri Kanan Pendidikan #orang dewasa #penjarakan sosial #perintah kawalan pergerakan #PKP #prasekolah #tadika #taska
;