Penjara nafi dakwaan Matthias ditempatkan bersama penghidap HIV, batuk kering
Bernama
November 7, 2015 21:37 MYT
November 7, 2015 21:37 MYT
Dakwaan peguam Matthias Chang bahawa beliau ditempatkan di dalam sel tahanan bersama penghidap HIV dan batuk kering adalah tidak tepat, kata Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Supri Hashim.
Supri berkata Chang ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan beliau sememangnya ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh atas syor pegawai perubatan yang memeriksa dan merawatnya.
Menegaskan bahawa setiap banduan akan menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan, Supri berkata penempatan secara berasingan adalah mengikut prosedur penjara dan bagi kepentingan kawalan kesihatan untuk semua banduan.
"Begitu juga banduan-banduan lain yang disyorkan sedemikian oleh pegawai perubatan akan ditempatkan di klinik penjara untuk pemantauan atau rawatan lanjut demi kepentingan kesihatan mereka.
"Banduan reman ditempatkan secara berasingan daripada banduan yang disahkan pegawai perubatan menghidap HIV dan tibi (batuk kering)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Supri berkata semua kerja-kerja pengurusan dan rawatan banduan berpenyakit tibi dan HIV hanya dikendalikan oleh pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan dan pegawai penjara sahaja.
"Tidak ada arahan atau paksaan yang dibuat oleh pihak penjara untuk banduan reman Matthias Chang membantu banduan lain yang sakit (bukan sakit berjangkit) yang berada di klinik penjara," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Chang mendakwa beliau diletakkan dalam sel tahanan bersama penghidap HIV dan batuk kering.
Chang memaklumkan perkara itu di Mahkamah Tinggi pada Khamis lepas ketika membantah keputusan mahkamah menolak permohonan beliau dan bekas naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kes mereka disebut pada 18 Nov.
Chang, 65, dan Khairuddin, 53, menghadapi pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.