Penjara komited dekatkan ODP dan OBB dengan masyarakat

Bernama
Mac 27, 2024 21:08 MYT
Walace Nawan (dua, kiri) bersama Penaung NGO KhuPrihatin Mohd Khuzzan Abu Bakar (tengah) memberikan sumbangan kepada golongan asnaf ketika program Ihsan Ramadan di Pejabat Parol Batu Pahat hari ini. - Bernama
JABATAN Penjara Malaysia komited untuk mendekatkan Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) dengan masyarakat, melalui beberapa program serta aktiviti, sekali gus dapat membuang stigma negatif terhadap komuniti parol itu.
Timbalan Pengarah Penjara Negeri Johor Walace Nawan berkata bagi mencapai tujuan tersebut, pejabat parol daerah disarankan untuk melibatkan pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan, pihak swasta dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata dengan penyertaan itu, ia sudah pasti akan menjadikan ODP dan OBB berkenaan tidak terpinggir, malah akan dapat membantu mereka untuk berkelakuan baik serta dalam masa yang sama tidak mengulangi sejarah hitam yang pernah dilalui sebelum ini.
"Selain NGO dan agensi kerajaan masyarakat sendiri mempunyai peranan untuk membantu dan membimbing komuniti parol ini, dengan melibatkan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan di kawasan setempat.
"Sebagai contoh pada hari ini, Pejabat Parol Daerah Batu Pahat mengadakan beberapa aktiviti seperti memasak dan agihan bubur lambuk, memberikan sumbangan kepada asnaf, sesi tazkirah dan berbuka puasa bersama-sama meraka," katanya kepada Bernama ketika Program Ihsan Ramadan, di Pejabat Parol Batu Pahat, hari ini.
Program berkenaan yang melibatkan 22 ODP dan OBB itu turut mendapat kerjasama daripada NGO KhuPrihatin, Restoran Nasi Lemak Dua Layer Batu Pahat dan Nasi Pakistan No.1 Batu Pahat.
-- BERNAMA
#penjara #Orang ramai #orang diparol #ODP #OBB #stigma negatif
;