Penjara 22 tahun, sebat 18 kali hukuman rogol anak tiri
Bernama
Ogos 6, 2019 15:31 MYT
Ogos 6, 2019 15:31 MYT
Seorang lelaki berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan 18 sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol anak perempuan tirinya berusia 15 tahun dan melakukan sumbang mahram sejak lima tahun lepas.
Hakim Ummu Kalthom Abd Samad menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Kahar Sengkang selepas dia mengaku bersalah.
Dia menjawab "ya, bersalah" selepas pertuduhan dibacakan dan sentiasa menundukkan kepalanya sepanjang prosiding berjalan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Kahar didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu dan melakukan sumbang mahram sejak anak tirinya itu berusia 10 tahun, dengan kesalahan itu diteruskan sehingga 13 Jun tahun ini di rumah mereka (ruang tamu dan bilik tidur) di Kg Lubok Temiang semasa orang lain tiada di rumah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan 10 sebatan.
Bagi perbuatan sumbang mahram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (A) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 376B akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan.
Dia dijatuhi hukuman penjara berjumlah 22 tahun dan 18 sebatan rotan bagi kedua-dua kesalahan.
Mahkamah memerintahkan supaya hukuman penjara dijalankan berturut-turut mulai tarikh Mohd Kahar ditangkap pada 4 Julai tahun ini.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Aliear mengendalikan pendakwaan.
Mangsa membuat laporan polis pada 13 Jun lepas apabila dia tidak tahan lagi dengan penderaan oleh bapa tirinya itu. - BERNAMA