Penjara 2 tahun, 2 sebatan laku amang seksual terhadap cucu saudara
Nur Fazlizai Ali
Mac 17, 2022 18:02 MYT
Mac 17, 2022 18:02 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu saudaranya.
Hukuman itu diputuskan Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh yang berusia 46 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas cucu saudaranya yang berusia 14 tahun sembilan bulan, di sebuah rumah di Marang, pada pada 16 Januari 2022.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 17 Januari lalu.
Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakil peguam.