Penjara 15 tahun, 9 sebatan hukuman buat lelaki rogol anak tiri
Shuhada Abdul Kadir
Januari 5, 2023 17:21 MYT
Januari 5, 2023 17:21 MYT
SEREMBAN: Tindakan keji seorang peniaga warung merogol dan melakukan seks luar tabii terhadapnya anak tirinya membawa padah apabila dipenjara 15 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh yang berusia 38 tahun dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus tujuh pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut enam pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tirinya yang ketika itu berusia 12 tahun di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah di Serting Ulu, Batu Kikir, Jempol dan di sebuah warung di Serting Ulu.
Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 1 Januari 2021 hingga 10 Disember 2022 lalu antara pukul 8 malam dan 2 pagi.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja memasukkan objek iaitu terung ke dalam kemaluan mangsa sama tanpa kerelaannya di sebuah warung di Serting Ulu, Batu Kikir, Jempol kira-kira pukul 8 malam pada 11 April 2021 hingga 20 April 2021 lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika ini merupakan pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama merupakan anak hasil perkahwinan pertama ibunya yang berusia 48 tahun sebelum berkahwin dengan tertuduh pada tahun 2014.
Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
Ini kerana hujahnya, mangsa yang ketika itu baharu berusia 12 tahun sepatutnya dilindungi oleh tertuduh yang juga bapa tirinya.
Hakim Datin Surita pada penghakimannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman daripada tarikh ditangkap iaitu pada 29 Disember lalu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.