Penjara 13 tahun kerana merogol pelancong Australia

Bernama
November 7, 2016 22:55 MYT
Kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. - Gambar hiasan
Perbuatan seorang penyambut tamu di sebuah hotel lima bintang yang membuat kunci pendua bilik hotel dan merogol pelancong warga Australia membawa padah apabila dia dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman itu ke atas Roaquin Radzmund Muhammed Redu-an, 27, yang kini tidak bekerja, selepas dia didapati bersalah merogol wanita berusia 27 tahun itu, dua tahun lepas.
Kunasundary berkata mahkamah mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan serius dan keji.
"Rogol itu sendiri adalah serius dan keji. Lebih keji lagi apabila (rogol) dilakukan tertuduh yang mempunyai tanggungjawab dan amanah yang berat (sebagai penyambut tamu). Sesiapa yang melakukan kesalahan rogol akan menerima padahnya.
"Hukuman yang dikenakan ini supaya tertuduh tidak sesuka hati terbawa oleh nafsu liar yang mendatangkan kesan mental dan fizikal kepada mangsa," kata hakim itu.
Kunasundary membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan setelah mendengar keterangan 14 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh.
Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 22 Sept tahun ini.
Pada 2 Disember 2015, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Roaquin Radzmund daripada pertuduhan merogol pengurus sebuah restoran makanan segera itu.
Bagaimanapun pada tahun ini, Mahkamah Tinggi memerintahkannya membela diri atas pertuduhan merogol itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya.
Roaquin Radzmund yang ketika itu berusia 25 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik bernombor 1007, di sebuah hotel di Jalan Imbi, di sini pukul 5 pagi, 19 Oktober 2014.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira beberapa faktor terutamanya tindakan tertuduh yang telah mengambil peluang dan kesempatan sebagai pekerja hotel dan merogol mangsa yang menginap di hotel tersebut.
"Ia bukan calang-calang hotel. Ia hotel lima bintang, tertuduh telah ambil kesempatan dengan membuat kunci pendua untuk masuk ke dalam bilik dan merogol mangsa. Tertuduh telah mengambil kesempatan pecah amanah tugas sebagai pekerja hotel yang jujur," katanya.
Liyana Zawani juga berkata tindakan tertuduh telah mencemarkan imej Malaysia dan menyebabkan pelancong cenderung merasa tidak selamat untuk menghuni hotel di negara ini.
Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam James Khong, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan kesalahan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.
Katanya, tertuduh yang merupakan anak kedua dari empat beradik merupakan penanggung utama keluarga.
-- BERNAMA
#hotel lima bintang #kes mahkamah #pelancong Australia #penyambut tetamu #rogol
;