Penjara 12 tahun, rayuan Siti Bainun didengar hari ini

Astro Awani
November 13, 2023 07:45 MYT
Siti Bainun yang kini ditahan di Penjara Kajang, mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang diputuskan terhadapnya, enam bulan lalu. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella, hari ini.
Semakan laman web mahkamah mendapati, prosiding akan didengar di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.
Siti Bainun yang kini ditahan di Penjara Kajang, mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang diputuskan terhadapnya, enam bulan lalu.
Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi turut mengarahkan Siti Bainun melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.
Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini di antara Februari dan Jun 2021 sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun.
Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Siti Bainun sekali lagi membuat rayuan bagi penangguhan hukuman di Mahkamah Tinggi, namun gagal.
#Siti Bainun Ahd Razali #rayuan #Mahkamah Tinggi #Bella
;