PenjanaKerjaya: Pelaku perlu dibawa ke muka pengadilan

Bernama
Julai 15, 2022 19:36 MYT
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mahu supaya semua pihak yang membuat tuntutan palsu berkaitan PenjanaKerjaya dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mahu supaya semua pihak yang membuat tuntutan palsu berkaitan Progam Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyokong penuh siasatan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya itu, yang membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan melalui 'Ops Hire', serta menyifatkan ops itu yang dilaksanakan sejak 13 Julai sebagai 'aktiviti yang perlu dilaksanakan'.
"KSM tidak akan berkompromi sama sekali, memandangkan terdapat pihak yang telah mengambil kesempatan ke atas inisiatif kerajaan dengan melaksanakan penyelewangan dana dan tuntutan palsu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi 'Ops Hire' yang dilancarkan di seluruh negara bermula 13 Julai, seramai 37 individu dilaporkan telah ditahan reman sehingga semalam bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya.
BACA: 37 individu direman bantu siasatan tuntutan palsu, seleweng dana insentif PenjanaKerjaya
Saravanan berkata dana PenjanaKerjaya yang disalurkan kepada majikan adalah sebagai suatu inisiatif kerajaan semasa pandemik COVID-19 bertujuan membantu majikan menggajikan pekerja yang menganggur dan membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan.
Menurutnya, jumlah bayaran yang telah dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada para majikan dan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM2.34 bilion, membabitkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan.
Beliau berkata mana-mana majikan dan penyedia latihan yang telah membuat salah laku dalam permohonan PenjanaKerjaya digesa tampil ke PERKESO dan membuat bayaran balik insentif tersebut bagi mengelakkan tindakan undang-undang yang lebih keras pada masa akan datang.
Saravanan dalam pada itu berkata PERKESO juga telah menggantung bayaran PenjanaKerjaya sebanyak RM423 juta berdasarkan penganalisisan data dan pemantauan pengoperasian PenjanaKerjaya secara berterusan.
"Saya menyeru kepada para majikan dan penyedia latihan agar tidak sama sekali membuat salah laku atau tuntutan palsu kerana sumber kewangan yang disalurkan telah diagihkan untuk tujuan menyokong usaha-usaha penting kerajaan demi memperkasakan pasaran buruh di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#PenjanaKerjaya #Menteri Sumber Manusia #M Saravanan #pengadilan #Progam Insentif Pengambilan Pekerja #SPRM #Suruhanjaya Rasuah Malaysia #Ops Hire
;