PENJANA: Pinjaman Tekun bantu kelangsungan usahawan mikro, tidak buang pekerja
Umavathi Ramayah
September 11, 2020 14:10 MYT
September 11, 2020 14:10 MYT
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan COVID-19 di Malaysia pada pertengahan bulan Mac lalu memberi kesan kepada kebanyakan sektor termasuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro di negara ini.
Tempoh itu turut menyaksikan peningkatan kadar pengangguran di Malaysia selepas syarikat terpaksa menutup operasi atau melakukan pengurangan pekerja.
Seorang pengusaha PKS mikro yang memiliki syarikat pembekal perubatan, Trumaan Health Sdn Bhd, Raymond Dairiam memberitahu, memandangkan hospital kerajaan dan swasta pada ketika itu menghentikan pembedahan elektif dan prosedur rawatan harian, syarikatnya terpaksa melalui tempoh sukar.
Pembekal alat biopsi EvoCore yang digunakan untuk pensampelan tisu lembut dan kateter silikon bertaraf antarabangsa yang digunakan untuk mengeluarkan air kencing daripada pundi kencing itu memberitahu, permintaan ke atas bekalan itu mengalami penurunan sehingga 90 peratus.
"Ini kerana, hospital terpaksa menghentikan produk-produk perubatan seperti ini, dan meningkatkan perbelanjaan ke atas peralatan untuk mengendalikan COVID-19 seperti pakaian pelindung diri (PPE), ubat-ubatan dan ventilator," katanya kepada Astro AWANI.
Selain itu, Raymond, 45, berkata, ekoran sekatan pergerakan yang dikenakan, beliau dan pekerjanya tidak dapat bertemu dengan pelanggan, yang menyebabkan proses pembelian tertangguh.
Mengeruhkan lagi keadaan katanya, apabila produk yang diimport dari Jerman, Itali dan Taiwan itu berdepan cabaran barangan tiruan yang dijual pada harga yang lebih murah di pasaran.
Pada ketika itu, katanya, kerajaan menawarkan skim pinjaman mudah untuk para usahawan mikro menerusi TEKUN Nasional dengan kadar faedah sifar.
Jelasnya, ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan kepada golongan PKS sepertinya bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi ketika pandemik.
"Saya benar-benar bersyukur kerana skim ini mengekalkan aliran tunai kami kerana kami perlu mendahulukan pembayaran kepada pembekal.
"Selain itu, bantuan itu juga berjaya memastikan syarikat saya kekal bertahan tanpa isu pembuangan kakitangan dan pembayaran gaji," katanya.
Raymond menjelaskan, ini bukan skim pertama yang dipohonnya di bawah TEKUN sebaliknya, ketika memulakan perniagaannya lima tahun yang lalu, beliau mendapat pinjaman RM80,000 dengan faedah hanya empat peratus.
"Saya pernah cuba mendapatkan bantuan pinjaman daripada bank komersial, namun mereka meminta jaminan dengan nilai RM1 juta bagi mendapatkan pinjaman RM100,000.
"Kalau saya ada jumlah itu (RM1 juta), kenapa perlu saya mohon pinjaman?" soalnya.