PENJANA: Komuniti perniagaan puas hati, adaptasi digital perlu jadi teras

Harits Asyraf Hasnan
Jun 9, 2020 12:06 MYT
ABDUL RAUF: Satu perkara mengenai normal baharu ini adalah masa depan kita tertakluk banyak kepada adaptasi digital dan berpandukan data terutama mengenai pakej rangsangan Kerajaan. -Gambar fail
Komuniti perniagaan di negara ini dilihat berpuas hati dengan inisiatif yang dilakukan Kerajaan dalam menangani impak ekonomi susulan penularan wabak COVID-19.
Rakan Kongsi Pengurusan Malaysia, Ernst & Young, Datuk Abdul Rauf Rashid bagaimanapun berkata ia masih boleh ditambah baik berteraskan adaptasi digital dan berpandukan data.
Jelasnya, situasi yang dihadapi ketika ini adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi dalam sejarah ekonomi dunia dan Malaysia.
“Jadi, apa yang Kerajaan buat, mungkin ada yang kena, mungkin ada yang tak kena tapi yang penting bagi saya adalah kemahuan Kerajaan untuk mendengar idea-idea dari pelbagai pihak. Ini satu tindakan yang amat baik.
“Secara keseluruhan saya rasa komuniti perniagaan berpuas hati kerana apa yang kerajaan lakukan ini bersasar. Mungkin ada peluang-peluang untuk pastikan kita lebih efektif dan pantas.
“Satu perkara mengenai normal baharu ini adalah masa depan kita tertakluk banyak kepada adaptasi digital dan berpandukan data terutama mengenai pakej rangsangan Kerajaan.
“Jika kerajaan boleh mensasarkan lebih lagi inisiatif-inisiatif ini berpandukan data, ia akan memastikan pelaksanaan yang lebih efektif, berkesan dan bersasar kepada aspek-aspek ekonomi yang penting untuk dipulihkan,” katanya ketika ditemu bual dalam Niaga AWANI hari ini.
Jelasnya lagi, disebabkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) merupakan pelan pemulihan ekonomi jangka masa pendek, keberkesanan pelaksanaan menjadi cabaran utama Kerajaan.
Ujarnya, Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan berperanan besar dalam memastikan semua 40 inisiatif yang digariskan dapat dilaksanakan dengan sempurna oleh agensi-agensi yang terlibat.
“Memandangkan pelan ini adalah pelan jangka masa pendek, jadi keberkesanan pelaksanaan adalah amat penting.
“Keberkesanan bergantung kepada banyak faktor. Bagaimana kita nak pastikan apa yang kita nak buat, kerana 40 inisiatif itu banyak.
“Ia merangkumi banyak agensi pelaksana kerajaan…terdapat banyak agensi kerajaan yang terlibat dalam 40 inisiatif itu.
“Oleh itu kerjasama antara Kementerian Kewangan yang memberi suntikan kewangan dan juga agensi pelaksana ini amat penting.
"Ini akan dipastikan menerusi Unit LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan yang akan memastikan keberkesanan pelaksanaan ini,” jelasnya lagi.
#COVID19 #Datuk Abdul Rauf Rashid #ekonomi #Ernst & Young #Kementerian Kewangan #komuniti perniagaan #koronavirus #PENJANA
;