PENJANA: Ini rangkuman teras memperkasa rakyat bagi pekerja, belia, penganggur

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 7, 2020 08:00 MYT
PENJANA yang diumumkan Perdana Menteri adalah bagi memacu kembali ekonomi Malaysia ekoran pandemik COVID-19 dengan tiga teras utama. - Gambar fail
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bagi memacu kembali ekonomi Malaysia ekoran pandemik COVID-19 dengan tiga teras utama.
Tiga teras utama tersebut adalah memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.
Bagi teras memperkasakan rakyat, pelan yang diumumkan ini bertujuan untuk melindungi pekerjaan dan meningkatkan kemahiran, di samping memastikan rakyat mampu untuk berdikari.
Berikut adalah rangkuman senarai pelan yang diumumkan bagi teras memperkasakan rakyat;
1) Program Subsidi Upah
- Program subsidi upah akan dilanjutkan untuk semua majikan yang layak selama tiga bulan lagi dengan kadar subsidi RM600 sebulan bagi setiap pekerja
- Program tersebut juga ditambah baik dengan membenarkan majikan untuk melaksanakan pengurangan waktu bekerja minggu dan pengurangan gaji sehingga 30 peratus dengan persetujuan pekerja.
- Ia juga memberi kelonggaran kepada majikan untuk membenarkan pekerja menerima subsidi upah secara langsung bagi mereka yang telah mengambil cuti tanpa gaji, dengan syarat pekerja tersebut menerima subsidi upah secara langsung (bagi sektor pelancongan dan sektor yang tersenarai dalam aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh PKPB).
2) Naik taraf portal perkhidmatan pekerjaan negara
- Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di bawah PERKESO yang ditambah baik bertujuan memperkukuh portal pekerjaan dan padanan kerja.
- Selain bekerjasama dengan portal pekerjaan swasta untuk padanan kerja.
3) Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan
- Kerajaan akan memperkenalkan insentif kepada dua golongan iaitu golongan belia dan golongan penggangur bagi menggalakkan pengambilan pekerja.
- Bagi golongan belia, program perantis bagi graduan dan lepasan sekolah dengan pemberian elaun latihan sebanyak RM600 sebulan selama enam bulan.
- Bagi golongan penganggur pula, bagi yang berusia bawah 40 tahun, insentif bagi menggaji golongan penganggur dengan elaun sebanyak RM800 sebulan selama 6 bulan.
- Bagi yang berusia 40 tahun ke atas, insentif bagi menggaji golongan yang menganggur dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan elaun sebanyak RM1,000 sebulan selama 6 bulan.
- Elaun latihan sebanyak RM4,000 juga akan diberikan bagi mereka yang hilang pekerjaan dan bukan pencarum di bawah Skim Insuran Pekerjaan.
4) Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran
- RM2 bilion akan diperuntukkan bagi melaksanakan program latihan dan peningkatan kemahiran bagi golongan belia dan penganggur.
- Bagi meningkatkan kebolehpasaran belia, kerajaan bersedia melaksanakan program dengan menyediakan dana padanan sehingga RM250 juta dan mengoptimumkan penggunaan institusi latihan kemahiran awam seperti MARA, kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia dan sebagainya.
- Kerajaan juga akan menyokong Latihan dan Pendidikan Profesional PROTÉGÉ di bawah Financial Industry Collective Outreach (FINCO) yang akan menyediakan latihan dan pengalaman pekerja kepada sehingga 2,000 graduan menganggur.
- Bagi meningkatkan kemahiran untuk golongan pengganggur pula, kerajaan bersedia melaksanakan program seperti kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi meningkatkan kemahiran.
- Kerajaan juga menggalakkan penganggur melanjutkan pelajaran terutamanya dalam kursus jangka pendek di universiti tempatan dan Memperkasa latihan keusahawanan yang dijalankan dibawah institusi seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta MARA.
- Selain memberi subsidi latihan sehingga RM800 sebulan selama enam bulan dengan mendaftar di Program Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC).
5) Perlindungan sosial dan latihan bagi pekerja ekonomi gig
- Beberapa langkah diperkenalkan bagi menjamin keselamatan sosial dan kebajikan golongan pekerja ekonomi gig.
- Ia termasuk memperuntukkan geran sejumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan untuk pekerja yang mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO dan Skim i-Saraan di bawah KWSP.
- MDEC juga akan memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang bertujuan memperkasakan dan membimbing rakyat sebagai pekerja digital bertaraf global.
#Belia #COVID-19 #ekonomi #kemahiran #memperkasa rakyat #pekerjaan #Pelan Jana Semula Ekonomi Negara #penganggur #PENJANA #perniagaan #teras utama
;