PENJANA-HRDF: 100 peserta jalani kursus lanjutan solekan
Astro Awani
April 18, 2021 15:00 MYT
April 18, 2021 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 100 individu berpeluang menyertai kursus lanjutan solekan sekali gus berjaya meningkatkan kemahiran bersesuaian dengan kehendak industri.
Tambah menarik, kursus itu dikendalikan oleh dua jurumekap yang mendapat pengiktirafan Hollywood iaitu Nissa Khan dan Connie Sim.
Kedua-dua jurusolek Hollywood tersebut dibawa ke Malaysia melalui kerjasama di antara syarikat Nissa Khan Agency dan Stellar Empire Sdn Bhd.
Program itu mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Penerbit Filem dan Televisyen India Malaysia (MIFTPA).
Program yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan di bawah inisiatif PENJANA dan Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) itu berlangsung selama empat minggu dari 23 Mac sehingga 19 April 2021 di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini.
Pengarah Urusan Stellar Empire Sdn Bhd, Mohd Azwar Mahmud berkata, pihak penganjur menerima lebih 500 permohonan untuk menyertai program tersebut dan daripada 100 peserta yang terpilih, lebih 90 peratus adalah usahawan wanita.
"Kami turut menerima permohonan daripada ahli Persatuan Jurumekap Bumiputera Malaysia (MBMUAA), Persatuan Jurumekap Filem Malaysia dan Persatuan Bekas Kru Kabin MAS (ECCA).
"Selepas menamatkan kursus, para peserta mendapat kemahiran asas dan tinggi seni solekan dan dandanan, kemahiran komunikasi efektif serta solekan kesan khas yang betul.
"Peserta program juga lebih bersedia untuk menjadi usahawan terutamanya sebagai jurusolek bebas, perunding solekan profesional dan jurusolek untuk peragaan fesyen," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Azwar, penyertaan tinggi golongan wanita tersebut turut menarik perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad untuk melawat peserta program.
Selain menjalani latihan praktikal 56 jam di bawah penyeliaan Nissa Khan dan Connie Sim, para peserta turut menerima buku panduan kecantikan dan solekan kesan khas serta set 26 barangan solekan yang dibiayai sepenuhnya di bawah initiastif PENJANA-HRDF.