Penjajaran landasan bengkok punca kelewatan - Rapid KL
Afiezy Azaman
Januari 26, 2023 07:30 MYT
Januari 26, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Ampang mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.
Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, pemerhatian awal menunjukkan ini adalah disebabkan oleh kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan itu.
"Jurutera Rapid Rail sedang berada di kawasan terbabit bagi menilai keadaan bersama-sama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan.
"Atas faktor keselamatan, pihak Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan.
"Perkhidmatan LRT Ampang akan dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan dan ini akan menyebabkan kelewatan perkhidmatan selama 9 minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Rapid KL berkata, tren-tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat, tren-ren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya manakala perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik diantara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.
"Perkhidmatan bas alternatif telah diaktifkan bagi menampung penumpang-penumpang seperti di Stesen Bandaraya ke Plaza Rakyat, Stesen Plaza Rakyat ke Stesen, Stesen Sentul Timur ke Stesen dan Stesen Bandaraya ke Sentul Timur.
"Anggota Polis Bantuan juga telah dikerah ke stesen-stesen utama bagi mengawal kesesakan," katanya.
Rapid Rail turut memohon maaf di atas kelewatan ini dan kesulitan yang dialami oleh para penumpang.