Penjajaran kurikulum dilaksana, bantu guru susun perancangan - Radzi
Astro Awani
Jun 6, 2021 11:38 MYT
Jun 6, 2021 11:38 MYT
KUALA LUMPUR: Kurikulum pendidikan akan disusun berdasarkan konsep penjajaran iaitu penekanan kandungan asas, tambahan, dan pelengkap, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin.
Ujarnya, menerusi pendekatan itu, setiap guru lebih mengetahui kebolehan dan keupayaan anak didik masing-masing sebelum memutuskan untuk meningkatkan fasa kandungan.
"Sekiranya ada masa, guru akan memberi tumpuan kepada kandungan tambahan dan seterusnya, sekiranya masih ada masa, guru akan memberi tumpuan kepada kandungan pelengkap dan melengkapkan secara keseluruhannya.
"Namun begitu, untuk setiap tahap murid itu, atau tingkatan, ada kandungan asas yang perlu dikuasai oleh mereka dan inilah komponen utama.
"Apa yang penting bahawa setiap guru mengetahui kemampuan anak didik mereka dan ini membolehkan guru menyusun perancangan khususnya asas dengan terbaik," ujarnya semasa sidang media secara maya pada Ahad.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 12,887 unit peranti telah diagihkan setakat ini untuk inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, CERDIK.
Jelasnya, sebanyak 40,290 sedang diagihkan dan dijangka selesai pada 12 Jun selain baki 96,823 lagi pada September depan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini memaklumkan, CERDIK diperkenal untuk merapatkan jurang sosioekonomi dengan memudahkan pembelajaran digital untuk golongan berpendapatan rendah.
"Program perintis ini membolehkan pembelajaran digital yang perlu dijadikan komponen asas dalam pendidikan anak-anak kita jika kita ingin meraih manfaat ekonomi melalui Revolusi Industri Keempat," katanya.
[TERKINI] Sidang media khas Menteri Kanan Pendidikan