Penjaja jual rokok haram dipenjara setahun

Astro Awani
April 25, 2014 22:03 MYT
Gambar fail
Seorang penjaja kecil yang menjual rokok haram dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau atas dua pertuduhan iaitu memiliki 97,760 batang rokok tidak sah pada April 2010 dan Isnin lalu.
Majistret Muhammad Najib Ismail menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Salleh Hassan, 53, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Salleh yang juga pemaustautin tetap negara ini dituduh memiliki 73,960 batang rokok putih dan rokok kretek haram pelbagai jenama bernilai RM2,218.80 disebuah rumah beralamat 2-1-2 Jalan Tengah, Bandar Bayan Baru pada jam 3,30 petang 27 april lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Salleh didakwa memiliki 23,800 rokok putih dan kretek haram pelbagai jenama bernilai RM1,244 disebuah rumah beralamat sama pada jam 12 tengahari pada Isnin lalu.
Bagi kedua-dua kesalahan tersebut , dia didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) akta kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut seksyen 135 (1) (iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Ridhauddin Jamaluddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, semasa prosiding, tertuduh merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya dan memberitahu dia perlu menanggung isteri dan enam anak termasuk seorang yang mengalami masalah mental.
Bagaimanapun dalam penghakiman Majistrtet Muhammad Najib memberitahu hukuman yang dikenakan ke atasnya setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya kerana menjual barang seludup dan penjualan rokok haram.
#Mahkamah Majistret Balik Pulau #Mohd Salleh Hassan #Peniaga kecil #penjara #rokok haram
;