Penjaja diugut sebar video tidak senonoh selepas kenal wanita di media sosial

Bernama
Julai 30, 2024 14:45 MYT
Lelaki berusia 47 tahun itu berkata dia berkenalan dengan wanita terbabit melalui Facebook dengan tujuan mahu berkawan dan ingin mencari pasangan hidup. - Gambar hiasan
IPOH: Seorang penjaja nyaris kerugian RM6,000 selepas diugut seorang wanita yang mahu menyebarkan video tidak senonohnya setelah berkenalan di media sosial pada 25 Julai lepas.
Lelaki berusia 47 tahun itu berkata dia berkenalan dengan wanita terbabit melalui Facebook dengan tujuan mahu berkawan dan ingin mencari pasangan hidup.
Dia mendakwa wanita itu kemudian menghubunginya menerusi panggilan video kira-kira 11 malam, Ahad lepas sebelum memintanya untuk membuka pakaian.
"Selepas panggilan video itu tamat, tidak lama selepas itu dia menghubungi saya dan mengugut untuk menyebarkan video tidak senonoh itu dan meminta wang RM6,000 tetapi saya cakap saya tidak ada duit," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di sini hari ini.
Lelaki itu mendakwa dia juga menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor luar negara pada keesokannya yang memintanya memasukkan wang RM3,000 ke dalam satu akaun.
Bagaimanapun, katanya dia tidak membayar wang berkenaan dan membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima maklumat berhubung kes itu.
-- BERNAMA
#Facebook #media sosial #WhatsApp #balai polis