Penjaja bazar Ramadan di Selangor bakal dapat bantuan RM500

Umavathi Ramayah
Mei 5, 2021 18:11 MYT
Amirudin Shari berkata, bantuan sejumlah RM500 kepada 11,000 penjaja bazar Ramadan di negeri itu yang terjejas akibat penutupan operasi mulai Sabtu ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan sejumlah RM500 kepada 11,000 penjaja bazar Ramadan di negeri itu yang terjejas akibat penutupan operasi mulai Sabtu ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembayaran itu akan dibuat melalui pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selepas 1 Syawal ini.
Berikutan itu, katanya, Selangor memperuntukan RM5 juta berikutan kedudukan kerajaan negeri yang mampu dan berupaya untuk meneruskan bantuan itu.
"Dianggarkan 11,000 peniaga bazar Ramadan terjejas dengan pengumuman kita (penutupan operasi), maka kerajaan negeri akan membantu melalui pendaftaran dengan PBT sebanyak RM500 selepas 1 Syawal.
"Ia adalah sebagai menanggung sedikit keresahan serta kekurangan yang mereka hadapi setelah pengumuman operasi pada 8 Mei nanti," katanya dalam sidang media khas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor di sini, pada Rabu.
PKP Selangor | Bazar Ramadan di Selangor tidak dibenarkan beroperasi
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga mempunyai sistem yang diguna pakai pada pelaksanaan PKP1.0 bagi menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
"Kita akan kumpulkan lesen di peringkat PBT dan masukkan dalam sistem. Kemudian bantuan akan disalurkan ke akaun mereka.
"Kita boleh cross data checking dengan sistem yang ada, buat masa ini kita tetapkan satu lesen satu gerai. Setakat ini kita ada 11,000 penjaja yang berdaftar.
"Kita kena realistik, sebab itu saya cakap bantuan hanya boleh disalurkan selepas Hari Raya" jelas beliau lagi.
Terdahulu Amirudin mengumumkan semua operasi bazar Ramadan di Selangor tidak dibenarkan mulai Sabtu ini.
Beliau berpendapat, kerajaan negeri tidaklah bertindak kejam memandangkan pengusaha atau pemilik bazar itu sudah beroperasi kira-kira 25 hari menjelang Jumaat ini.
[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan di Selangor | 05 Mei 2021
#penjaja #Bazar Ramadan #PKP Selangor #Amirudin Shari #bantuan
;