Penjagaan kesihatan warga emas perlu sistematik - Dr Subramaniam

Syafique Shuib
Mei 26, 2015 07:23 MYT
Kerajaan sedang menggubal Akta Penjagaan Kesihatan Warga Emas bagi kepententingan penjagaan warga tua.
Kerajaan sedang menggubal Akta Penjagaan Kesihatan Warga Emas bagi kepentingan penjagaan warga tua selepas negara mencapai status negara menua pada tahun 2030.
Menteri Kesihatan Datuk Dr S. Subramaniam berkata pada tahun 2030, jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas adalah 15 peratus.
"Ini adalah satu cabaran yang akan dihadapi kerajaan dan Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu sesi dialog bertajuk #TanyaGomen anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Dengan akta tersebut, Dr Subramaniam berkata penjagaan warga emas akan memenuhi standard yang ditetapkan.
"Saya tahu sekarang ini terdapat industri khusus untuk penjagaan warga emas yang dikenali sebagai 'Assisted Living', namun kita perlu satu sistem dan satu standard yang perlu dipatuhi. Jadi kami masih lagi menggubal akta tersebut," katanya.
Beliau turut berkata bahawa ketika ini warga emas juga diberikan pelbagai kemudahan di hospital awam termasuk dikecualikan daripada pembayaran.
"Selain itu, kami sedang memperkenalkan perkhidmatan di mana pasukan kesihatan daripada klinik akan melawat seseorang pesakit warga emas yang baharu sahaja keluar dari hospital untuk melakukan pemeriksaan. Pasukan kesihatan itu sendiri akan ke rumah pesakit itu," kata Dr. Subramaniam.
Pada sesi soal jawab, beliau turut menyentuh tentang Pelan Transformasi Kesihatan, di mana fokus utama tertumpu kepada pencegahan.
"Kita perlu rakyat yang sihat. Apabila mereka sihat, mereka akan lebih produktif dan ini akan membawa pulangan yang lebih banyak kepada ekonomi negara.
"Selain itu, mengesan penyakit lebih awal lebih amat penting kerana sesuatu penyakit akan menyebabkan penyakit yang lain dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Dan rawatan ini semua memerlukan kos," katanya.
Menyentuh tentang gaya hidup rakyat Malaysia, beliau berkata ia sudah berbeza berbanding dengan zaman dahulu.
"Dahulu kita disajikan dengan makanan tradisional yang lebih sihat. Namun kini makanan segera dan makanan yang diproses adalah makanan asas sesetengah golongan rakyat Malaysia," katanya.
Selain pemakanan yang tidak sihat, Dr Subramaniam berkata bahawa 95 peratus rakyat Malaysia tidak aktif.
"Anak-anak muda duduk di hadapan komputer sekarang. Mereka tidak lagi bermain di luar seperti dahulu.
"Ini juga memerlukan kerjasama dari agensi-agensi lain. Contohnya, mereka yang merancang pelan pembangunan bandar perlu menyediakan perkhidmatan di mana rakyat boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berbasikal agar dapat melahirkan masyarakat yang sihat," katanya.
Sesi #TanyaGomen merupakan usaha Pemandu untuk membenarkan orang ramai untuk berinteraksi bersama wakil kerajaan dan berbincang tentang isu-isu semasa.
Editor Kanan Astro AWANI Zan Azlee bertindak sebagai moderator ketika sesi bersama Dr Subramaniam yang diadakan di Content Malaysia Pitching Centre, Platinum Sentral petang Selasa.
##TanyaGomen #Kementerian Kesihatan #S #subramaniam
;