Penjaga stor didakwa empat pertuduhan amang seksual
Siti Nur Aqilla Omar
Jun 8, 2022 13:06 MYT
Jun 8, 2022 13:06 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang penjaga stor sebuah pasar raya di Pasir Gudang, di sini didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan kesalahan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja dan seorang wanita bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Ibnu Azim Azmi, 31 tahun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.
Tertuduh yang berumur 31 tahun itu didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada 23 Mei lalu.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14 (d) akta sama.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal kepada rakan sekerjanya di sebuah pasar raya di Pasir Gudang, 25 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, didakwa mencabul kehormatan seorang rakan sekerjanya, berusia 20 tahun.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan, Chan Choon Yew dan Nor Maisarah Hassan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri sepanjang pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kesemua pertuduhan berserta seorang penjamin warga tempatan.
Majistret kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin warga tempatan.