Penjaga kaunter tiket dihukum penjara, sebat kerana rompak warga Myanmar

Bernama
September 15, 2016 13:54 MYT
Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 25 Jun lalu.
Seorang penjaga kaunter tiket bas dipenjara tiga tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan terhadap seorang pekerja kilang warga Myanmar.
Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rizuan Roslan, 29, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah hari ini. Kes itu hari ini ditetapkan untuk menyambung perbicaraan hari kedua.
Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 25 Jun lalu.
Mohd Rizuan didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, merompak wang tunai RM300 dan telefon bimbit jenis Samsung milik Maung Linn, 27, di tepi jalan besar Hentian Duta, di sini pada 10 pagi, 25 Jun lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Mengikut fakta kes, tertuduh bersama seorang lagi lelaki yang memandu kereta itu (masih bebas) telah membawa mangsa ke Hentian Duta dari Hentian Puduraya.
Ketika tiba di Hentian Duta, tertuduh telah mencekik mangsa yang duduk di kerusi depan dan mengambil wang RM300, manakala lelaki yang memandu mengambil telefon bimbit dari beg galas mangsa.
Tertuduh ditangkap oleh orang ramai selepas mangsa menjerit meminta tolong ketika tertuduh mengeluarkan mangsa dari kereta, manakala rakan tertuduh berjaya melarikan diri selepas memecut kenderaannya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan kes rompak terhadap warga asing semakin meningkat di negara ini.
Mohd Rizuan yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung isteri dan anak yang masih kecil selain menyesal dan insaf atas kesalahan yang telah dilakukannya. -- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #merompak #pekerja kaunter tiket #warga myanmar
;