Penjaga haiwan maut diserang harimau
Bernama
Jun 3, 2015 10:49 MYT
Jun 3, 2015 10:49 MYT
Seorang penjaga haiwan warga Indonesia maut diserang seekor harimau di sebuah resort di sini petang Selasa.
Dalam kejadian dipercayai pukul 2 petang itu, seekor harimau yang dijaga lelaki itu selama kira-kira lapan tahun, tiba-tiba menerkam ketika mangsa masuk ke kandang untuk memberinya makan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata mangsa yang berumur 34 itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan sebelum meninggal dunia di hospital tersebut.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Melaka, Noorzakiahanum Mohd Noh berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.
"Perhilitan juga sedang melihat keadaan harimau itu untuk menentukan punca serangan haiwan itu ke atas penjaganya," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Sementara itu, resort berkenaan menerusi satu kenyataan berkata pasukan perubatan resort tersebut telah memberikan bantuan perubatan kepada mangsa sebelum dia dikejarkan ke hospital.
"Kejadian ini amat jarang berlaku dan anggota keluarga mangsa telah dimaklumkan tentangnya. Penjaga lain masih belum menentukan punca harimau itu menyerang penjaganya," katanya.
Kenyataan itu juga menyebut resort itu sedang mengawasi dengan teliti tingkah laku haiwan berkenaan.