Penjaga gol Terengganu FC meninggal dunia

Astro Awani
Ogos 17, 2019 16:17 MYT
Mohd Suffian Abd Rahman meninggal dunia akibat serangan jantung. - Gambar Twitter BERNAMA
PENJAGA gol utama Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Abd Rahman meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari Sabtu.
Pemergian pemain berusia 41 tahun akibat serangan jantung itu mengejutkan ramai berikutan pasukan yang diwakilinya akan bertemu dengan Negeri Sembilan pada saingan Piala Malaysia malam ini.
Portal berita Harian Metro melaporkan, bekas penjaga gol kebangsaan itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal, dekat Kuala Terengganu.
“Saya begitu terkejut mendengar berita itu, saya dimaklumkan kematian arwah disebabkan masalah jantung dan arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tunggal selepas solat Asar petang ini.
“Saya mengharapkan peminat setia skuad TFC dan seluruh peminat bola sepak tanah air mendoakan arwah Suffian ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman,” kata Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya dipetik sebagai berkata.
Portal berkenaan juga melaporkan, pada 1 Ogos lalu, penjaga gol berpengalaman itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana masalah jantung.
Selepas dirawat di hospital beberapa hari, Allahyarham Mohd Suffian berada dalam keadaan itu stabil dan dibenarkan pulang untuk membuat rawatan susulan.
#Mohd Suffian Abd Rahman meninggal dunia #penjaga gol #Penjaga gol Terengganu FC meninggal dunia #Terengganu FC
;